proses perkahwinan bajau di kota belud
4.0 Adat Istiadat Perkahwinan Bajau
Kota Belud
Walaupun
adat istiadat etnik Bajau Samah di Kg.Pankalan Abai serba sedikit telah
mengalami proses pembaharuan dari aspek pelaksanaannya, namun terdapat beberapa
adat lama yang masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Secara umumnya, adat
istiadat perkahwinan etnik Bajau Samah mempunyai beberapa persamaan dengan adat
perkahwinan kaum Melayu. Persamaan ini termasuklah seperti adat memberi mas
kahwin, hantaran dan beberapa persamaan lainnya. Suku kaum Bajau Samah
sememangnya mementingkan pengekalan adat lama tidak kiralah dari aspek
perkahwinan mahupun adat-adat upacara lain. Namun begitu, etnik Bajau Samah
sangat teliti dalam melaksanakan upacara adat istiadat perkahwinan. Upacara
selalunya dilakukan mengikut tuntutan adat dan agama. Oleh itu, adat istiadat
perkahwinan Bajau Samah banyak dipengaruhi oleh budaya turun temurun dan agama
Islam. Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji telah membuat kaedah temubual
bersama seorang responden. Responden tersebut ialah Encik Marjani Bin Jabar ,81,
yang merupakan seorang bekas Ketua Kampung di KG.Menunggui Kota Belud yang
telah memegang jawatan tersebut selama lebih kurang 20 tahun. Selain dari
memegang jawatan tersebut, beliau juga sangat berpengalaman dalam mengetuai dan mengendalikan urusan
perkahwinan. Menurut Encik Marjani, dalam melaksanakan sesuatu perkahwinan itu
juga, terdapat beberapa fasa yang perlu dilaksanakan dan perlu dipatuhi
berdasarkan urutan adat perkahwinan yang diwarisi secara turun temurun. Fasa
tersebut dapat dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu Sebelum, Semasa
dan Selepas perkahwinan.
4.1 Adat Sebelum Perkahwinan etink
bajau samah
4.1.1
Proses Adat Tilau-tilau Idaan/Mendo
Dalam
masyarakat Bajau Samah, adat tilau-tilau
idaan ini berlaku apabila keluarga pihak lelaki ingin mencari pasangan buat
anak mereka. Menurut Encik Marjani, dalam adat ini, pihak lelaki biasanya akan
memberitahu keluarga pihak perempuan bahawa mereka akan berkunjung ke rumah
pihak perempuan dalam masa 2-3 hari sebelum melakukan adat tilau-tilau idaan ini. Adat dilakukan apabila pihak keluarga iaitu
ibu dan bapa pihak lelaki telah memilih pasangan atau calon untuk dijadikan
bakal menantu mereka maka ibu bapa akan segera mengaturkan upacara tilau-tilau idaan (merisik). Saudara
terdekat ibu bapa (Ngentan Bisoro) akan menjadi wakil semasa proses merisik.
Biasanya, setelah mendapat kepastian bahawa calon itu belum ada ikatan sekiranya calon belum ada
ikatan apa-apa dan sepadan degan keinganan pihak lelaki tentang rupa paras,
budi Bahasa serta martabat keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruaan
iaitu untuk menyimpul tali pertunangan. Namun, jika calon sudah bertunang proses
merisik akan serta-merta tamat. Kebiasannya, pihak calon menantu tidak akan terus
menerima pinangan tersebut tetapi pihak calon akan meminta masa satu minggu
untuk memberikan kata putus antara setuju atau menolak. Hal ini, untuk
memberikan masa kepada keluarga pihak calon untuk bermuafakat dengan waris dan
saudara mara terdekat (anak dinakan). Seterusnya, setelah sampai masa yang dijanjikan,
wakil pihak calon akan bertemu dengan wakil peminangan untuk memberikan
jawapan. Sekiranya ditolak, wakil pihak calon akan memberikan alasan munasabah
agar tidak menyinggung perasaan pihak lelaki dan sekiranya pinangan diterima,
wakil kedua-dua pihak akan melanjutkan perbincangan untuk menentukan jumlah
berian dan penongot yang ditentukan berdasarkan status calon berdasarkan latar
belakang calon sama ada golongan berpangkat atau sebaliknay.
4.1.2
Proses Adat Seruan (panggilan kedua)
Menurut
En.Marjani upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan Seruan
(panggilan kedua). Dalam fasa ini,pihak lelaki akan menyediakan sebentuk cincin
sebagai tanda bahawa calon isteri tersebut sudah pun mempunyai tuning. Selain
itu, perbincangan antara kedua belah pihak akan dijalankan untuk menetapkan
tarikh sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Tempoh pertunangan biasanya
satu bulan sehingga lima bulan dan tempoh itu boleh dipercepatkan atau ditunda
mengikut persetujuan kedua-dua pihak. Dalam kajian oleh Fisabellah menyatakan
masyarakat bajau sangat teliti dalam menentukan tarikh perkahwinan. Hal ini
disebabkan kepercayaan bahawa hari dan bulan perkahwinan akan mempengaruhi
kehidupan masa hadapan pengantin. Oleh itu, tarikh perkahwinan diberikan
berdasarkan panduan ramalan bintang dua belas. Antara hari yang dianggapkan
memberikan kebaikan ialah hari Jumaat semasa bulan syaaban, zulkaedah,
zulhijrah, rabiulakhir dan syawal., Dalam proses seruan ini, kebiasannya akan ada perbincangan tentang berapa banyak
hantaran yang pihak perempuan perlukan. Dalam adat lama Bajau Samah, hantaran
biasanya adalah seperti dua ekor kerbau atau sapi tetapi kini hantaran tersebut
boleh juga berbentuk wang. Tambah Encik Marjani, terdapat satu perjanjian
dimana selepas seruan atau pertunangan diikat, perkahwinan antara bakal
pengantin tidaklah boleh melebihi tempoh 1 tahun, sekiranya pihak lelaki tidak
dapat menunaikan janji untuk menjalankan perkahwinan dalam tempoh yang telah
dipersetujui, pihak perempuan berhak untuk meminta ganti rugi dalam bentuk wang
dari RM1000-2000. Selepas itu, sebaik sahaja pertunangan tersebut diterima oleh
pihak perempuan, majlis Norong/Malad
akan teruskan.
4.1.3
Adat Norong/Malad
Norong/malad
pula adalah satu majlis bertujuan untuk meghantar berian atau hantaran kepada
pihak perempuan. Dalam proses ini, wakil kedua-dua pihak akan berbincang untuk
menetapkan tarikh perkahwinan. Dalam adat masyarakat bajau terdapat dua jenis
norong iaitu norong pertama dihantarkan kepada pihak perempuan tiga bulan atau
satu bulan sebelum perkahwinan dan norong kedua sekadar untuk menghantarkan
haiwan yang diminta oleh pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki
semasa proses mendo. Pada masa kini, norong lebih dikenali sebagai malad.
Ketika norong, tarikh perkawinan ditetapkan dan kedua-dua pihak akan
menyampaikan khabar (ngabar) jemputan kepada sanak saudara serta sahabat
mereka.
Selalunya,
ibu bapa pihak pengantin yang akan menyampaikan khabar kepada saudara mara. Hal
ini untuk mengelakkan tercicir atau lupa dikhabarkan. Pemberitahuan majlis
perkahwinan ini biasanya akan dilakukan dengan mengunjungi rumah saudara mara
atau masyarakat terdekat untuk diberitahu, namun perkembangan zaman telah
memudahkan lagi proses menghebahkan majlis perkahwinan ini iaitu dengan
menghantar jemputan dalam bentuk surat sahaja.
4.2
Adat
Semasa Proses Perkahwinan Etnik Bajau Samah
4.2.1
Adat Madak Atau Mandi Badak
Acara
mandi badak (malam berinai) adalah upacara yang dilakukan pengantin sebelum
majlis akad nikah dan majlis bersanding. Menurut En.Marjani, Adat ini
kebiasannya dijalankan pada waktu malam selepas maghrib oleh kedua-dua pengantin.
Tujuannya untuk meraikan bakal pengantin serta tanda restu perkahwinan dari
keluarga dan sanak saudara. Mengikut adat turun-temurun etnik Bajau, mandi
badak dilakukan untuk menaikkan seri wajah pengantin dan sebagai cara untuk
menenangkan pengantin semasa upacara akad nikah dijalankan. Mandi badak
terbahagi kepada dua iaitu mandi bedak besar (madak oyo) dan mandi bedak kecil
(madak diki). Bedak yang digunakan semasa adat mandi bedak ialah dari tepung
beras, minyak wangi dan beberapa jenis bunga.
Upacara
mandi badak selalunya dimulakan dengan berzanji bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan
pengantin. Berzanji selalunya dilakukan oleh sekumpulan lelaki dan wanita dalam
keadaan duduk dalam bulatan. Seterusnya, selesai berzanji, acara merenjis
pengantin akan dilakukan oleh keluarga dan sanak saudara. Bahan yang digunakan
dalam upacara merenjis ialah beras kuning, inai, bunga rampai, santan kelapa
dan daun pandan. Semasa acara merenjis, pengantin akan diberikan hadiah oleh
setiap ahli keluarga yang merenjis. Selalunya, keluarga dan sanak saudara
memberikan pengantin bunga telur atau wang hadiah. Selain itu, semasa upacara
mandi badak, tetamu yang hadir akan disajikan dengan hidangan yang disediakan
oleh pihak pengantin mengikut kemampuan dan citarasa tuan rumah.
Seterusnya,
selesai upacara mandi badak, tetamu juga akan dihiburkan dengan acara betitik.
Adat betitik adalah irama yang dihasilkan dengan menggunakan alat muzik
tradisional Bajau yang dilengkapi dengan set kulintangan yang mempunyai lapan
biji, dua gong besar, gong kecil dan dua gandang. selalunya irama yang
dimainkan semasa acara betiti ialah andu-andu, kedidi, andu bia: kedebak serta
sawa. Selain acara betitik, selalunya acara berunsai turut disajikan tuan rumah
kepada tetamu yang hadir. Berunsai ialah tarian tradisi bajau yang diselangi
kalang-kalang sama iaitu pantun sepanjang malam.
Selain
itu, selesai upacara madak, upacara berinai (bepasar) akan dilaksanakan oleh
mak andam kepada semua jari pengantin perempuan dan enam jari pengantin lelaki
iaitu kanan tiga dan kiri tiga. Pada malam mandi badak, kaum keluarga dan sanak
saudara akan sama-sama bergotong-royong menyediakan hidangan untuk tetamu
keesokan harinya iaitu semasa akad nikah dan bersanding. Oleh itu, perkahwinan
dalam masyarakat Bajau mengeratkan hubungan
kekeluargaan dan sanak saudara .
4.2.2
Adat Majlis Nikah / Sanding
Pada
hari akad nikah dijalankan, pihak lelaki akan berdiri atau duduk bergantung
kepada status pengantin lelaki. Setelah upacara akad nikah selesai, kedua-dua
pengantin akan bersanding. En.Marjani menyatakan bahawa, pengantin lelaki akan
diiringi dengan menaiki kuda yang tidak kurang dari tiga ekor kuda. Rumah
pengantin perempuan akan diletakkan satu bendera atau kain yang belum dijahit
sebagai tanda dimana pengantin yang diiringi tersebut perlu berhenti. Ketika
itu, akan ada seorang wakil dari rumah pihak perempuan untuk memanggil
pengantin lelaki untuk datang kerumah pengantin perempuan tersebut. Tiba di
rumah pengantin pula, satu letupan akan dibunyikan sama ada menggunakan senjata
api (senapang) untuk mengumumkan kepada seluruh kampung bahawa pengantin lelaki
telah tiba.
Walau
bagaimanapu, bagi mereka yang berpangkat, pengantin lelaki tidak dibenarkan
memijak tanah. Oleh itu, pengantin akan diusung menggunakan usungan (sungan)
dan orang biasa hanya diarakkan di atas kuda. Selain itu, seperti kebanyakkan
adat perkahwinan di Sabah, pengantin lelaki etnik Bajau harus membawa buah
tangan (damak) untuk keluarga perempuan sebelum memasuki rumah keluarga
pengantin perempuan. Ketibaan pengantin lelaki biasanya ditandai dengan
beberapa das tembakan di udara.Semua itu dipengaruhi oleh status pengantin
lelaki.
Seterusnya,
pengantin lelaki akan didudukkan di tempat duduk khas iaitu tilam kecil yang
dialas tujuh lapisan tipo selisir, sejenis tikar tradisi bajau (peningkoon) dan
diapit dua pengapit (pawai). Selain tipo selisir, pelamin bahagian hadapan
tradisi Bajau turut dihiasi dengan gubahan menggunakan pelbagai kuih tradisi
Bajau seperti Berate, jala, sinsim dan Penjaram (Idang), kain rentang bercorak
yang dipasangkan di sekeliling penjuru rumah (sempangan), bantal panjang
(bantal beguling), kain bercorak pada bumbung pelamin (lelangit). Seterusnya,
pelamin tradisi bajau mempunyai sekurang-kurangnya tiga lapis tabir yang perlu
dilalui oleh pengantin lelaki untuk bertemu dengan pengantin perempuan.
Untuk
melepasi ketiga-tiga tabir tersebut pihak pengantin lelaki perlu megikuti adat.
Tabir pertama hanya akan dibuka setelah pengapit (pawai) menghadiahkan sebuah
syair kepada pengantin perempuan dan keluarga pihak perempuan. Seterusnya,
tabir kedua dan ketiga dibuka selepas membayar cukai (mayad tabir) yang
bernilai RM10 yang akan diminta oleh mak andam selepas proses tawar menawar
dengan mak andam nilai cukai yang perlu dibayar oleh pihak lelaki. Setelah
ketiga-tiga tabir dibuka, pengantin lelaki terlebih dahulu membatalkan wuduk
pengantin perempuan dengan memusingkan sapu tangan sebanyak tiga kali di atas
kepada pengantin perempuan dan menjatuhkan sapu tangan tersebut di atas tangan
pengantin perempuan. Namun begitu, adat membayar cukai bagi setiap tabir tidak
menjadi satu kemestian tetapi iainya hanta satu adat untuk memeriahkan lagi
sesuatu majlis perkahwinan itu.
Seterusnya,
pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan membaca kalimah
syahadah dan wuduk pengantin perempuan telah dibatalkan. Selepas melalui proses
tersebut, barulah pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan duduk
bersanding. Semasa bersanding, biasanya pengantin kaum Bajau akan memakai
pakaian tradisi kaum bajau yang dilengkapi dengan hiasan kepala (sarimpak),
baju (badu sipak), kain muga serta kain (olos berangkit) dan hiasan tambahan
seperti subang, mendapun, selendang, tali pinggang (ingkot pangkat), kuku palsu
buatan tembaga berwarna keemasan (keku) untuk pengantin perempuan kaum bajau.
Manakala, pengantin lelaki kaum bajau dilengkapi tanjak (podong), baju (badu
sampit), seluar (suar), dan aksesori lain iaitu tali pinggang (ingkot pangkat),
selendang dan supu.
4.3
Adat
Selepas Perkahwinan Etnik Bajau Samah
4.3.1
Adat Ngendo
Ngendo
adalah satu proses adat perkahwinan yang dilakukan selepas tamatnya sesuatu
perkahwinan itu. Adat ini dilakukan
untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pengantin lelaki tiga
hari selepas selesai majlis perkahwinan. Proses ngendo biasanya dilakukan oleh
ibu bapa pengantin lelaki dan saudara terdekat lelaki. Keluarga pengantin
lelaki akan berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk menjemput pengantin
dan keluarga pengantin perempuan akan mengiringi perjalanan ke rumah pengantin
lelaki. Setelah tiba di rumah keluarga pengantin lelaki, pengantin perempuan
tidak terus masuk ke dalam rumah. Pengantin perempuan perlu membasuh kaki untuk
menyucikan diri tanda menjadi ahli keluarga pihak lelaki. Setelah selesai
menyucikan diri, pengantin perempuan akan dijemput masuk ke dalam rumah dan
keluarga perempuan yang mengiringi pengantin akan disajikan dengan hidangan dan
dihiburkan dengan acara yang disediakan oleh tuan rumah. Setelah selesai acara,
keluarga pengantin perempuan akan meninggalkan pengantin perempuan tinggal bersama
keluarga pengantin lelaki beberapa hari (temu bual:En.Marjani).
4.3.2
Adat Ngedede
Semasa
proses ngendo dijalankan selama tiga
hingga lima hari, setelah itu adat
ngedede akan dilakukan. Adat ini ialah menghantar semula kedua-dua pengantin ke
rumah pihak perempuan. Ketika ngedede, pasangan pengantin akan dibekalkan
dengan dua jenis bekal (pebaunan) iaitu yang pertama peralatan dapur
(pemanganan) seperti pinggan mangkuk, talam tembaga (dulang), tepak sirih (lapa),
periuk, cawan, gelas, teko dan peralatan dapur yang lain sebagai persediaan
kepada pasangan hidup bersama selepas itu.
Seterusnya, peralatan tidur (peturian) seperti tilam, selimut, bantal,
kelambu, cadar. Bekalan ini adalah hadiah dari keluarga lelaki kepada
pengantin. Oleh itu, melalui bekalan
tersebut, pasangan pengantin akan membina keluarga. Namun begitu, perbaunan
tidaklah satu perkara yang diwajibkan dalam menjalankan sesuatu adat itu, ia
adalah sebagai tanda hormat kedua mempelai kepada adat istiadat bajau samah dan
pihak keluarga baru mereka.
Selepas dari itu,
pihak lelaki bolehlah tinggal bersama keluarga si isteri ataupun menetap
dirumah kediaman mereka sendiri. Dahulu, pengantin lelaki semasa proses ngedede
akan membawakan seekor kerbau sebagai mas kahwin (tekok penongot) untuk
diserahkan kepada mentuanya tetapi sekarang telah digantikan dengan wang tunai.
Pada masa kini, kebanyakan pasangan Bajau sudah jarang tinggal bersama keluarga
perempuan. Pengantin lelaki cenderung tinggal dengan keluarga dan bawa isteri
tinggal bersama keluarganya. Walaupun begitu, terdapat juga pasangan bajau yang
lebih selesa tinggal di rumah sendiripalungan untuk pengantin bajau |
baju tradisi bajau |
baju tradisi |
alat musik yang digunakan semasa majlis perkahwinan bajau |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan