Rabu, 11 April 2018

proses perkahwinan bajau di kota belud

proses perkahwinan bajau di kota belud

4.0 Adat Istiadat Perkahwinan Bajau Kota Belud
Walaupun adat istiadat etnik Bajau Samah di Kg.Pankalan Abai serba sedikit telah mengalami proses pembaharuan dari aspek pelaksanaannya, namun terdapat beberapa adat lama yang masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Secara umumnya, adat istiadat perkahwinan etnik Bajau Samah mempunyai beberapa persamaan dengan adat perkahwinan kaum Melayu. Persamaan ini termasuklah seperti adat memberi mas kahwin, hantaran dan beberapa persamaan lainnya. Suku kaum Bajau Samah sememangnya mementingkan pengekalan adat lama tidak kiralah dari aspek perkahwinan mahupun adat-adat upacara lain. Namun begitu, etnik Bajau Samah sangat teliti dalam melaksanakan upacara adat istiadat perkahwinan. Upacara selalunya dilakukan mengikut tuntutan adat dan agama. Oleh itu, adat istiadat perkahwinan Bajau Samah banyak dipengaruhi oleh budaya turun temurun dan agama Islam. Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji telah membuat kaedah temubual bersama seorang responden. Responden tersebut ialah Encik Marjani Bin Jabar ,81, yang merupakan seorang bekas Ketua Kampung di KG.Menunggui Kota Belud yang telah memegang jawatan tersebut selama lebih kurang 20 tahun. Selain dari memegang jawatan tersebut, beliau juga sangat berpengalaman  dalam mengetuai dan mengendalikan urusan perkahwinan. Menurut Encik Marjani, dalam melaksanakan sesuatu perkahwinan itu juga, terdapat beberapa fasa yang perlu dilaksanakan dan perlu dipatuhi berdasarkan urutan adat perkahwinan yang diwarisi secara turun temurun. Fasa tersebut dapat dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu Sebelum, Semasa dan Selepas perkahwinan.

4.1 Adat Sebelum Perkahwinan etink bajau samah
4.1.1 Proses Adat Tilau-tilau  Idaan/Mendo
Dalam masyarakat Bajau Samah, adat tilau-tilau idaan ini berlaku apabila keluarga pihak lelaki ingin mencari pasangan buat anak mereka. Menurut Encik Marjani, dalam adat ini, pihak lelaki biasanya akan memberitahu keluarga pihak perempuan bahawa mereka akan berkunjung ke rumah pihak perempuan dalam masa 2-3 hari sebelum melakukan adat tilau-tilau idaan ini. Adat dilakukan apabila pihak keluarga iaitu ibu dan bapa pihak lelaki telah memilih pasangan atau calon untuk dijadikan bakal menantu mereka maka ibu bapa akan segera mengaturkan upacara tilau-tilau idaan (merisik). Saudara terdekat ibu bapa (Ngentan Bisoro) akan menjadi wakil semasa proses merisik. Biasanya, setelah mendapat kepastian bahawa calon itu  belum ada ikatan sekiranya calon belum ada ikatan apa-apa dan sepadan degan keinganan pihak lelaki tentang rupa paras, budi Bahasa serta martabat keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruaan iaitu untuk menyimpul tali pertunangan. Namun, jika calon sudah bertunang proses merisik akan serta-merta tamat. Kebiasannya, pihak calon menantu tidak akan terus menerima pinangan tersebut tetapi pihak calon akan meminta masa satu minggu untuk memberikan kata putus antara setuju atau menolak. Hal ini, untuk memberikan masa kepada keluarga pihak calon untuk bermuafakat dengan waris dan saudara mara terdekat (anak dinakan). Seterusnya, setelah sampai masa yang dijanjikan, wakil pihak calon akan bertemu dengan wakil peminangan untuk memberikan jawapan. Sekiranya ditolak, wakil pihak calon akan memberikan alasan munasabah agar tidak menyinggung perasaan pihak lelaki dan sekiranya pinangan diterima, wakil kedua-dua pihak akan melanjutkan perbincangan untuk menentukan jumlah berian dan penongot yang ditentukan berdasarkan status calon berdasarkan latar belakang calon sama ada golongan berpangkat atau sebaliknay.

4.1.2        Proses Adat Seruan (panggilan kedua)
Menurut En.Marjani upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan Seruan (panggilan kedua). Dalam fasa ini,pihak lelaki akan menyediakan sebentuk cincin sebagai tanda bahawa calon isteri tersebut sudah pun mempunyai tuning. Selain itu, perbincangan antara kedua belah pihak akan dijalankan untuk menetapkan tarikh sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Tempoh pertunangan biasanya satu bulan sehingga lima bulan dan tempoh itu boleh dipercepatkan atau ditunda mengikut persetujuan kedua-dua pihak. Dalam kajian oleh Fisabellah menyatakan masyarakat bajau sangat teliti dalam menentukan tarikh perkahwinan. Hal ini disebabkan kepercayaan bahawa hari dan bulan perkahwinan akan mempengaruhi kehidupan masa hadapan pengantin. Oleh itu, tarikh perkahwinan diberikan berdasarkan panduan ramalan bintang dua belas. Antara hari yang dianggapkan memberikan kebaikan ialah hari Jumaat semasa bulan syaaban, zulkaedah, zulhijrah, rabiulakhir dan syawal., Dalam proses seruan ini, kebiasannya akan ada perbincangan tentang berapa banyak hantaran yang pihak perempuan perlukan. Dalam adat lama Bajau Samah, hantaran biasanya adalah seperti dua ekor kerbau atau sapi tetapi kini hantaran tersebut boleh juga berbentuk wang. Tambah Encik Marjani, terdapat satu perjanjian dimana selepas seruan atau pertunangan diikat, perkahwinan antara bakal pengantin tidaklah boleh melebihi tempoh 1 tahun, sekiranya pihak lelaki tidak dapat menunaikan janji untuk menjalankan perkahwinan dalam tempoh yang telah dipersetujui, pihak perempuan berhak untuk meminta ganti rugi dalam bentuk wang dari RM1000-2000. Selepas itu, sebaik sahaja pertunangan tersebut diterima oleh pihak perempuan, majlis Norong/Malad akan teruskan.

4.1.3 Adat Norong/Malad
Norong/malad pula adalah satu majlis bertujuan untuk meghantar berian atau hantaran kepada pihak perempuan. Dalam proses ini, wakil kedua-dua pihak akan berbincang untuk menetapkan tarikh perkahwinan. Dalam adat masyarakat bajau terdapat dua jenis norong iaitu norong pertama dihantarkan kepada pihak perempuan tiga bulan atau satu bulan sebelum perkahwinan dan norong kedua sekadar untuk menghantarkan haiwan yang diminta oleh pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki semasa proses mendo. Pada masa kini, norong lebih dikenali sebagai malad. Ketika norong, tarikh perkawinan ditetapkan dan kedua-dua pihak akan menyampaikan khabar (ngabar) jemputan kepada sanak saudara serta sahabat mereka.
Selalunya, ibu bapa pihak pengantin yang akan menyampaikan khabar kepada saudara mara. Hal ini untuk mengelakkan tercicir atau lupa dikhabarkan. Pemberitahuan majlis perkahwinan ini biasanya akan dilakukan dengan mengunjungi rumah saudara mara atau masyarakat terdekat untuk diberitahu, namun perkembangan zaman telah memudahkan lagi proses menghebahkan majlis perkahwinan ini iaitu dengan menghantar jemputan dalam bentuk surat sahaja.

4.2      Adat Semasa Proses Perkahwinan Etnik Bajau Samah

4.2.1        Adat Madak Atau Mandi Badak
Acara mandi badak (malam berinai) adalah upacara yang dilakukan pengantin sebelum majlis akad nikah dan majlis bersanding. Menurut En.Marjani, Adat ini kebiasannya dijalankan pada waktu malam selepas maghrib oleh kedua-dua pengantin. Tujuannya untuk meraikan bakal pengantin serta tanda restu perkahwinan dari keluarga dan sanak saudara. Mengikut adat turun-temurun etnik Bajau, mandi badak dilakukan untuk menaikkan seri wajah pengantin dan sebagai cara untuk menenangkan pengantin semasa upacara akad nikah dijalankan. Mandi badak terbahagi kepada dua iaitu mandi bedak besar (madak oyo) dan mandi bedak kecil (madak diki). Bedak yang digunakan semasa adat mandi bedak ialah dari tepung beras, minyak wangi dan beberapa jenis bunga.
Upacara mandi badak selalunya dimulakan dengan berzanji bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pengantin. Berzanji selalunya dilakukan oleh sekumpulan lelaki dan wanita dalam keadaan duduk dalam bulatan. Seterusnya, selesai berzanji, acara merenjis pengantin akan dilakukan oleh keluarga dan sanak saudara. Bahan yang digunakan dalam upacara merenjis ialah beras kuning, inai, bunga rampai, santan kelapa dan daun pandan. Semasa acara merenjis, pengantin akan diberikan hadiah oleh setiap ahli keluarga yang merenjis. Selalunya, keluarga dan sanak saudara memberikan pengantin bunga telur atau wang hadiah. Selain itu, semasa upacara mandi badak, tetamu yang hadir akan disajikan dengan hidangan yang disediakan oleh pihak pengantin mengikut kemampuan dan citarasa tuan rumah.
Seterusnya, selesai upacara mandi badak, tetamu juga akan dihiburkan dengan acara betitik. Adat betitik adalah irama yang dihasilkan dengan menggunakan alat muzik tradisional Bajau yang dilengkapi dengan set kulintangan yang mempunyai lapan biji, dua gong besar, gong kecil dan dua gandang. selalunya irama yang dimainkan semasa acara betiti ialah andu-andu, kedidi, andu bia: kedebak serta sawa. Selain acara betitik, selalunya acara berunsai turut disajikan tuan rumah kepada tetamu yang hadir. Berunsai ialah tarian tradisi bajau yang diselangi kalang-kalang sama iaitu pantun sepanjang malam.
Selain itu, selesai upacara madak, upacara berinai (bepasar) akan dilaksanakan oleh mak andam kepada semua jari pengantin perempuan dan enam jari pengantin lelaki iaitu kanan tiga dan kiri tiga. Pada malam mandi badak, kaum keluarga dan sanak saudara akan sama-sama bergotong-royong menyediakan hidangan untuk tetamu keesokan harinya iaitu semasa akad nikah dan bersanding. Oleh itu, perkahwinan dalam masyarakat Bajau mengeratkan hubungan  kekeluargaan dan sanak saudara .

4.2.2 Adat Majlis Nikah / Sanding
Pada hari akad nikah dijalankan, pihak lelaki akan berdiri atau duduk bergantung kepada status pengantin lelaki. Setelah upacara akad nikah selesai, kedua-dua pengantin akan bersanding. En.Marjani menyatakan bahawa, pengantin lelaki akan diiringi dengan menaiki kuda yang tidak kurang dari tiga ekor kuda. Rumah pengantin perempuan akan diletakkan satu bendera atau kain yang belum dijahit sebagai tanda dimana pengantin yang diiringi tersebut perlu berhenti. Ketika itu, akan ada seorang wakil dari rumah pihak perempuan untuk memanggil pengantin lelaki untuk datang kerumah pengantin perempuan tersebut. Tiba di rumah pengantin pula, satu letupan akan dibunyikan sama ada menggunakan senjata api (senapang) untuk mengumumkan kepada seluruh kampung bahawa pengantin lelaki telah tiba.
Walau bagaimanapu, bagi mereka yang berpangkat, pengantin lelaki tidak dibenarkan memijak tanah. Oleh itu, pengantin akan diusung menggunakan usungan (sungan) dan orang biasa hanya diarakkan di atas kuda. Selain itu, seperti kebanyakkan adat perkahwinan di Sabah, pengantin lelaki etnik Bajau harus membawa buah tangan (damak) untuk keluarga perempuan sebelum memasuki rumah keluarga pengantin perempuan. Ketibaan pengantin lelaki biasanya ditandai dengan beberapa das tembakan di udara.Semua itu dipengaruhi oleh status pengantin lelaki.
Seterusnya, pengantin lelaki akan didudukkan di tempat duduk khas iaitu tilam kecil yang dialas tujuh lapisan tipo selisir, sejenis tikar tradisi bajau (peningkoon) dan diapit dua pengapit (pawai). Selain tipo selisir, pelamin bahagian hadapan tradisi Bajau turut dihiasi dengan gubahan menggunakan pelbagai kuih tradisi Bajau seperti Berate, jala, sinsim dan Penjaram (Idang), kain rentang bercorak yang dipasangkan di sekeliling penjuru rumah (sempangan), bantal panjang (bantal beguling), kain bercorak pada bumbung pelamin (lelangit). Seterusnya, pelamin tradisi bajau mempunyai sekurang-kurangnya tiga lapis tabir yang perlu dilalui oleh pengantin lelaki untuk bertemu dengan pengantin perempuan.
Untuk melepasi ketiga-tiga tabir tersebut pihak pengantin lelaki perlu megikuti adat. Tabir pertama hanya akan dibuka setelah pengapit (pawai) menghadiahkan sebuah syair kepada pengantin perempuan dan keluarga pihak perempuan. Seterusnya, tabir kedua dan ketiga dibuka selepas membayar cukai (mayad tabir) yang bernilai RM10 yang akan diminta oleh mak andam selepas proses tawar menawar dengan mak andam nilai cukai yang perlu dibayar oleh pihak lelaki. Setelah ketiga-tiga tabir dibuka, pengantin lelaki terlebih dahulu membatalkan wuduk pengantin perempuan dengan memusingkan sapu tangan sebanyak tiga kali di atas kepada pengantin perempuan dan menjatuhkan sapu tangan tersebut di atas tangan pengantin perempuan. Namun begitu, adat membayar cukai bagi setiap tabir tidak menjadi satu kemestian tetapi iainya hanta satu adat untuk memeriahkan lagi sesuatu majlis perkahwinan itu.
Seterusnya, pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan membaca kalimah syahadah dan wuduk pengantin perempuan telah dibatalkan. Selepas melalui proses tersebut, barulah pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan duduk bersanding. Semasa bersanding, biasanya pengantin kaum Bajau akan memakai pakaian tradisi kaum bajau yang dilengkapi dengan hiasan kepala (sarimpak), baju (badu sipak), kain muga serta kain (olos berangkit) dan hiasan tambahan seperti subang, mendapun, selendang, tali pinggang (ingkot pangkat), kuku palsu buatan tembaga berwarna keemasan (keku) untuk pengantin perempuan kaum bajau. Manakala, pengantin lelaki kaum bajau dilengkapi tanjak (podong), baju (badu sampit), seluar (suar), dan aksesori lain iaitu tali pinggang (ingkot pangkat), selendang dan supu.

4.3      Adat Selepas Perkahwinan Etnik Bajau Samah

4.3.1        Adat Ngendo
Ngendo adalah satu proses adat perkahwinan yang dilakukan selepas tamatnya sesuatu perkahwinan itu.  Adat ini dilakukan untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pengantin lelaki tiga hari selepas selesai majlis perkahwinan. Proses ngendo biasanya dilakukan oleh ibu bapa pengantin lelaki dan saudara terdekat lelaki. Keluarga pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk menjemput pengantin dan keluarga pengantin perempuan akan mengiringi perjalanan ke rumah pengantin lelaki. Setelah tiba di rumah keluarga pengantin lelaki, pengantin perempuan tidak terus masuk ke dalam rumah. Pengantin perempuan perlu membasuh kaki untuk menyucikan diri tanda menjadi ahli keluarga pihak lelaki. Setelah selesai menyucikan diri, pengantin perempuan akan dijemput masuk ke dalam rumah dan keluarga perempuan yang mengiringi pengantin akan disajikan dengan hidangan dan dihiburkan dengan acara yang disediakan oleh tuan rumah. Setelah selesai acara, keluarga pengantin perempuan akan meninggalkan pengantin perempuan tinggal bersama keluarga pengantin lelaki beberapa hari (temu bual:En.Marjani).

4.3.2        Adat Ngedede
Semasa proses ngendo dijalankan selama tiga hingga lima hari, setelah itu adat ngedede akan dilakukan. Adat ini ialah menghantar semula kedua-dua pengantin ke rumah pihak perempuan. Ketika ngedede, pasangan pengantin akan dibekalkan dengan dua jenis bekal (pebaunan) iaitu yang pertama peralatan dapur (pemanganan) seperti pinggan mangkuk, talam tembaga (dulang), tepak sirih (lapa), periuk, cawan, gelas, teko dan peralatan dapur yang lain sebagai persediaan kepada pasangan hidup bersama selepas itu.  Seterusnya, peralatan tidur (peturian) seperti tilam, selimut, bantal, kelambu, cadar. Bekalan ini adalah hadiah dari keluarga lelaki kepada pengantin.  Oleh itu, melalui bekalan tersebut, pasangan pengantin akan membina keluarga. Namun begitu, perbaunan tidaklah satu perkara yang diwajibkan dalam menjalankan sesuatu adat itu, ia adalah sebagai tanda hormat kedua mempelai kepada adat istiadat bajau samah dan pihak keluarga baru mereka.
Selepas dari itu, pihak lelaki bolehlah tinggal bersama keluarga si isteri ataupun menetap dirumah kediaman mereka sendiri. Dahulu, pengantin lelaki semasa proses ngedede akan membawakan seekor kerbau sebagai mas kahwin (tekok penongot) untuk diserahkan kepada mentuanya tetapi sekarang telah digantikan dengan wang tunai. Pada masa kini, kebanyakan pasangan Bajau sudah jarang tinggal bersama keluarga perempuan. Pengantin lelaki cenderung tinggal dengan keluarga dan bawa isteri tinggal bersama keluarganya. Walaupun begitu, terdapat juga pasangan bajau yang lebih selesa tinggal di rumah sendiri
palungan untuk pengantin bajau


baju tradisi bajau



baju tradisi 

alat musik yang digunakan semasa majlis perkahwinan bajau